Future Skills For All: Membuka peluang bagi pelajar kelainan upaya belajar pengaturcaraan

Home
Press Release
December 13, 2021
https://digi.com.my/media/articleURLhereWhichCanbeReallyLong

Tenaga pengajar Persekutuan Orang Pekak Malaysia diberi latihan micro:bit bagi mengajar pelajar pekak


SUBANG JAYA, 13 DISEMBER 2021 – Dalam usaha menjadikan kemahiran dan modul digital lebih inklusif untuk semua, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan rakan program Future Skills For All (FS4A) menyediakan latihan pengaturcaraan untuk guru-guru dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD). Latihan ini akan menyediakan guru-guru ini untuk mengajar modul digital kepada pelajar pekak sebagai persediaan untuk tenaga kerja masa hadapan.


Digi telah mengedarkan set mikro:bit kepada MFD untuk memudahkan sesi latihan ini. Inisiatif perintis ini membantu Digi menilai dengan lebih baik keperluan komuniti pekak dan menambah baik modul FS4A sedia ada agar lebih inklusif. FS4A ialah platform yang memberi akses mudah kepada pembelajaran kemahiran digital bagi pelajar sekolah secara percuma.


Sebagai langkah awal dalam usaha ini, interpretasi bahasa isyarat dimasukkan ke dalam modul video Asas Sains Komputer dan akan dikembangkan kepada modul lain secara berperingkat. Beberapa istilah pengaturcaraan yang baharu kepada komuniti pekak akan ditafsirkan secara kreatif, selain daripada mengeja istilah tersebut menggunakan ejaan jari.


Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata kolaborasi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Digi untuk mengurangkan ketidaksamaan di kalangan komuniti yang kurang diberi perhatian.


“Dengan tenaga kerja masa hadapan yang semakin digital, pengaturcaraan sememangnya salah satu aset penting untuk dikuasai oleh pelajar daripada usia muda. Justeru, inisiatif ini menjadikan ilmu pengaturcaraan lebih mudah diakses oleh pelajar pekak sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk bersiap siaga menghadapi masa hadapan. Kami mengalu-alukan kerjasama dengan lebih banyak entiti dengan visi yang sama untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif bagi kanak-kanak meneruskan pembelajaran digital dan meningkatkan kemahiran mereka.” 


Selaras dengan komitmen Yellow Heart Digi untuk meningkatkan penyertaan digital dan memperkasa masyarakat, program FS4A memberi kemahiran digital kepada kanak-kanak Malaysia terutamanya daripada komuniti yang kurang diberi perhatian. Program ini merupakan inisiatif bersama dengan ARUS Academy, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Pendidikan dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).


Baru-baru ini, FS4A memperkenalkan kempen #BolehCode untuk mencetuskan minat terhadap pengaturcaraan dalam kalangan pelajar sekolah melalui pertandingan, program cuti sekolah, bengkel dan siri video serta program pensijilan. Penekanan yang sewajarnya juga diberikan untuk memastikan bahan pembelajaran tersebut mempunyai pilihan pelbagai bahasa selain bahasa isyarat.


Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yellow Heart Digi yang lain, layari https://www.digi.com.my/sustainability-yellow-heart